Roh Ramadhan

      Comments Off on Roh Ramadhan

Keberkatan Ramadan dapat dizahirkan melalui tindakan. Ia akan mengarah kepada tindakan-tindakan yang baik dalam membentuk keluarga yang berkat, masyarakat yang berkat dan membawa kepada Negara yang berkat. Melalui keberkatan dunia ini individu itu insha Allah akan dapat merasakan dua dua kebaikan iaitu hasanah (kebaikan) dunia dan hasanah (kebaikan) akhirat. Bukankah ini yang kita rayukan di setiap pengakhiran doa kita seusai solat iaitu untuk mendapatkan kebaikan dunia dan juga akhirat?

Jika diamati, indikator hidup sesuatu jasad terletak pada wujud rohnya, begitu juga untuk solat yang hidup, petunjuk atau rohnya ada pada khusyu’ dalam menunaikan solat. Kayu ukur roh bagi puasa pula adalah pada keimanan dan pengampunanNya. Allah telah menyatakan jaminanNya melalui Surah al-Mukminun ayat 1-2 yang bemaksud “Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman (iaitu) orang-orang yang kusyuk dalam solatnya”. Ini secara relatifnya membawa maksud bahawa roh solat adalah kusyuk dan kekusyukan seseorang individu di dalam solat adalah kemenangan baginya. Diriwayatkan dari Abu Hurairah R.A., Junjungan Mulia Rasulullah S.A.W pernah bersabda “ …Dan sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu”. Itulah petujuk kepada kejayaan ibadah puasa seorang hamba. Dengan puasa, ia boleh meningkatkan keimanan serta menjadi landasan untuk memperoleh keampunan. Dengan kata lain, setiap ibadah dan penyerahan diri pada Allah perlu dilakukan dengan itqan (cemerlang) untuk meraih kemenangan seterusnya sebagai lambang keberadaan roh dalam melunaskan sesuatu kewajipan. Apabila roh itu hadir dalam ibadah ianya akan membawa kepada keberkatan dan kebaikan dunia dan akhirat. Begitulah jua dengan puasa, ‘kita bukan baik kerana kita berpuasa, tetapi dengan berpuasa InshaAllah kita akan menjadi baik’.

Untuk menjadi baik, nafsu perlu dikekang dengan takwa. Dalam kitab Minhajul Abidin, Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali Rahimahullah mengibaratkan mengekang nafsu umpama menjinakkan kuda liar yang sukar dikawal, merbahaya dan boleh memudaratkan. Strategi melemahkan kuda liar adalah dengan tiga perkara. Pertama: sekat makan minumnya dan sumber kekuatan nafsu yang lainnya; kedua: bebankan ia, beri tekanan atau deraan yang berat ke atasnya, dan terakhir sekali berikan latihan yang betul supaya kuda itu jinak dan mudah diatur. Dengan cara ini jugalah puasa mengajar kita teknik menundukkan nafsu. Puasa itu sendiri menyekat dari melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkannya dan menahan diri dari segala yang mampu merosakkannya yang disebut sebagai ‘siyam’. Kemudian kita henyak dan bebankan nafsu dengan solat-solat sunat sebagai bukti hamba yang syukur dan tawaduk iaitu ‘qiyam’ dan diakhiri dengan latihan Al-Quran sebagai panduan. Lihat sahaja pada perintah puasa di dalam surah Al-Baqarah ayat 183 secara jelas Allah menyatakan natijah yang diharapkan adalah menjadi manusia yang bertakwa. Dan pada ayat ke-2 dalam surah yang sama Allah berfirman mafhumnya “Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya, dan ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa”. Jelas bagi membentuk takwa itu jawapannya Al-Quran sebagai panduan, puasa sebagai latihan.

Buya Hamka ada menyebut “Puasa membebaskan kita dari kebiasaan untuk menjadi insan yang luar biasa”. Manakan tidak, dengan berpuasa perkara yang halal juga di haramkan apatah lagi yang sememangnya haram. Semua itu untuk melatih kita lebih mudah meninggalkan yang haram di bulan tanpa puasa. Jika ditamsilkan, ianya diibaratkan pelancong asing yang ingin melawat masjid. Bagi membolehkan mereka melawat ke dalam masjid, mereka perlu memaksa diri menutup aurat tetapi cuba lihat jika semua urusan lawatan selesai, mereka keluar dari masjid dan jubah yang mereka pakai untuk menutup aurat di tinggalkan. Di harap kita terhindar dari mempraktikkan hal seumpama itu iaitu kembali kepada perilaku asal usai Ramadan melabuhkan tirainya. Semua itu akan berlaku jika kita tidak menghayati hadirnya Ramadan dan tidak mengambil peluang menyemadikan ‘roh Ramadan’ ke dalam diri.

Orang yang puasa dengan penghayatan, sememangnya luar biasa dan sekali gus mereka itu akan menghidupkan Ramadan untuk terus menjadi manusia luar biasa yang mutaqin yang hidup bersama dengan Penciptanya agar tamatnya Ramadan nanti akan disambut dengan kemenangan. Moga kita dapat ditauliah dan menjadi graduat dari universiti Ramadan dan berjalan di atas muka bumi dengan kelulusan yang di segani oleh makhluk di langit dan juga di bumi dengan kemenangan yang kita perolehi. Kemenangan hanya tertakluk kepada yang berjaya meraih takwa dengan peroleh keberkatan, kasih sayang dan ampunan tuhan.

Mari kita bangunkan roh Ramadan, tatkala mampu mengimarahkan masjid untuk tarawih, mari langsungkan untuk penuhkan masjid tika sayupnya fajar subuh. Itu lambang kesatuan ummah; ummah yang bukan sekadar punya raga malah terisi jiwanya. Sesungguhnya dengan berpuasa di bulan Ramadan itu bukan suatu hasil tapi satu proses melahirkan hamba yang siangnya siyam (berpuasa), malamnya qiyam (mendirikan malam dengan ibadah) dan tarbiahnya adalah Al-Quran. Semoga Ramadan 1435H memanggil kembali roh iman ke dalam jasad dihuninya buat bekal peroleh keberkatan untuk hidup di usia yang selanjutnya. Selamat menjalani ibadah puasa. Tarbiah Ramadan di IKIMfm: Pilihan Utama Anda.

 

Sumber : Ikim