Tips Istiqamah Solat Terawih

      Comments Off on Tips Istiqamah Solat Terawih

SYUKUR ke hadrat Allah SWT kerana kita diberikan kesempatan sekali lagi untuk menyambut Ramadan, bulan yang penuh keberkatan tahun ini.

Maka umat Islam seluruh dunia mulalah menunaikan solat tarawih dan menghidupkan rumah-rumah Allah dalam usaha mendapatkan gandaan pahala yang diberikan kepada mereka yang beriman.

Seperti kebiasaan suasana di rumah Allah hanya akan dilihat meriah pada 10 malam pertama Ramadan dan semakin berkurangan pada 10 malam terakhir.

Tidak dinafikan, istiqamah dalam setiap amalan kita sukar untuk dilakukan memandangkan iman setiap umat Islam ada turun naiknya.

Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah Undang-Undang dari Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan (gambar) berkongsi tiga perkara utama yang dapat membantu seseorang itu istiqamah untuk menunaikan solat tarawih sepanjang bulan Ramadan.

1. Niat

Setiap apa yang dilakukan haruslah berserta dengan niat, begitu juga solat tarawih.

“Kita nak sembahyang Tarawih kena niat kerana Allah.

“Tapi, ada yang niat nak makan moreh, jumpa kawan, berniaga atau ikut orang sahaja… sebab itulah solat tarawih itu tidak konsisten,” jelasnya sambil menambah amalan seseorang akan terputus jika tidak diniatkan kerana Allah.

Bacaan imam juga memainkan peranan untuk menarik orang hadir ke masjid. – Gambar hiasan/Bernama

2. Kenali suasana lokasi solat tarawih

Kadangkala, bacaan imam yang tidak jelas juga boleh mempengaruhi seseorang itu untuk tidak meneruskan solat tarawih pada malam-malam berikutnya.

Jadi, mengenali imam adalah penting agar terus dapat menjadi seorang makmum yang khusyuk ketika menunaikan solat.

Suasana di dalam sesebuah masjid juga amat mempengaruhi persekitaran dan mampu meningkatkan rasa nikmat untuk menjalankan ibadah di bulan Ramadan.

3. Kelebihan tarawih

Sudah menjadi lumrah manusia untuk melakukan sesuatu selepas tertarik dengan kelebihan yang terdapat padanya.

“Kalau kita nak pergi melancong, mesti kita pilih destinasi itu sebab tarikan yang ada, bukan?

“Begitu juga dengan solat tarawih. Kalau kita tahu dan faham kelebihannya, pasti hati ini lebih mudah untuk istiqomah menunaikan sembahyang tarawih,” ujarnya.

Sumber : mStar